Thursday, June 3, 2010

Daging Rusa RM50/KG !!!

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) — Promosi yang terhad dan bekalan yang tidak mencukupi selain harga yang mahal mengekang perkembangan pasaran daging rusa dan burung unta dalam negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari Rabu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata ini juga kerana syarikat yang terlibat dalam penternakan haiwan itu sangat kecil walaupun potensi untuk mengembangkan industri itu amat besar.

“Promosinya terhad kerana bilangan syarikat atau individu terlibat tidaklah begitu ramai tetapi potensinya cukup besar kerana kedua-dua jenis daging ini mengandungi protein yang tinggi dan kolestrol rendah.

“Tetapi oleh kerana bekalan terhad maka ini mengekang perkembangan pasaran dan harganya pun agak tinggi di mana daging rusa berharga RM40 hingga RM50 sekilogram,” katanya menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) di sini.

Mustapa berkata kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa memberi bantuan dalam bentuk khidmat nasihat dan teknikal kepada penternak selain Agro Bank yang sentiasa bersedia untuk menimbangkan permohonan pinjaman daripada penternak yang berminat.

“Memandangkan penternakan rusa dan burung unta ini mempunyai potensi besar untuk industri hiliran dan pelancongan agro, maka kerajaan akan menggalakkan penternakan haiwan ini dan jabatan juga menerima beberapa cadangan untuk memajukan sektor ternakan haiwan terbabit dan akan memberi pertimbangan serius terhadap cadangan itu,” katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar), Mustapa berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar mempunyai dua buah ladang rusa iaitu di Sungai Siput dan Lenggong, Perak.

“Pada masa ini jumlah rusa yang diternak ialah kira-kira 1,113 ekor di Sungai Siput dan 1,200 ekor di Lenggong manakala burung unta sebanyak 115 ekor di Sungai Siput,” katanya.

No comments:

Post a Comment